Tuesday, May 22, 2007

Soalan Kertas 2 BM Ting 1 Pertengahan Tahun 2007

KERTAS 2
(Dua jam)

Kertas soalan ini mempunyai empat bahagian. Bahagian A terdiri daripada Bahagian A (i) dan Bahagian A (ii). Anda dikehendaki menjawab kedua-dua bahagian. Bahagian B mesti dijawab. Bahagian C mempunyai lima pilihan dan anda dikehendaki menjawab satu soalan sahaja. Bahagian D mesti dijawab.

Bahagian A (i)
[Masa yang dicadangkan : 40 minit]
[20 markah]

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan tulis suatu ringkasan tentang usaha-usaha yang boleh diambil untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kita semua tahu bahawa semakin banyak kemalangan berlaku setiap hari di jalan raya dan telah menyebabkan banyak nyawa terkorban. Oleh itu, langkah-langkah sewajarnya perlu diambil bagi membendung masalah ini. Undang-undang perlu diperketat supaya kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.
Peratus kelulusan bagi ujian kelas memandu juga haruslah dinaikkan. Selain itu, para pemandu dimestikan menduduki peperiksaan setiap dua tahun untuk memahirkan mereka dengan kemahiran yang diajarkan di kelas memandu sebelum ini. Keadaan kenderaan seperti tidak berlampu dan sistem brek yang rosak merupakan salah satu penyumbang utama kemalangan di jalan raya. Oleh itu, para pemandu perlu memastikan kenderaan mereka dalam keadaan selamat sebelum digunakan, khususnya untuk perjalanan yang jauh. Sehubungan itu, pihak kerajaan haruslah mewajibkan pemeriksaan kenderaan dilakukan setiap tahun dan mengenakan denda terhadap mereka yang mengingkarinya.
Kemalangan jalan raya yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini didapati berpunca daripada sikap pemandu yang suka memandu melebihi had laju yang ditetapkan. Dalam hal ini, had laju yang sedia ada wajar dikurangkan, khususnya di kawasan lebuh raya. Walaupun sesetengah pemandu sememangnya tidak bersetuju dengan cadangan ini, tetapi apabila sesuatu peraturan itu ditetapkan, mereka harus mematuhinya.
Denda juga harus dikenakan terhadap pengguna yang memandu yang melebihi had yang ditetapkan. Jika seseorang pemandu itu didapati melakukan kesalahan yang sama lebih daripada dua kali, lesen memandu mereka perlu digantung. Tindakan ini sudah pasti dapat membuka mata pengguna-pengguna lain. Sikap “tidak apa” pengguna yang dijadikan amalan selama ini pasti akan terhakis apabila amaran menggantung lesen memandu mereka dikeluarkan. Sudah tentu mereka tidak mahu “patah kaki” dan terpaksa pula berebut-rebut dan berasak-asak menggunakan pengangkutan awam seperti bas, teksi mahupun keretapi.
Pengguna juga perlu disedarkan tentang tanggungjawab mereka ketika berada di jalan raya melalui kempen-kempen berkaitan oleh pihak tertentu. Bak kata pepatah, janganlah sudah terhantuk baru tengadah kerana apabila sesuatu kecelakaan berlaku, tiada guna menyesalinya lagi. Usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan pameran bergerak bagi menunjukkan kesan dan akibat kemalangan wajar dihidupkan semula kerana rata-rata pengunjung berpendapat bahawa gambar-gambar mangsa kemalangan yang dipamerkan benar-benar meninggalkan mimpi ngeri buat mereka.
[20 markah]
Bahagian A (ii): Pemahaman
[10 markah]

Berdasarkan petikan Bahagian A (i), jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1 Berikan maksud pepatah sudah terhantuk baru tengadah. [2 markah]

2 Nyatakan dua punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya.
[4 markah]

3 Pada pendapat anda, apakah kesan yang timbul seandainya pengguna berlumba-lumba di jalan raya? [4 markah]

Bahagian B
[Masa yang dicadangkan : 25 minit]
[20 markah]

Lihat jadual di bawah ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang sebab dan kepentingan wujudnya perbezaan suhu di Tanah Tinggi Genting dan Kuala Lumpur sepanjang tahun 2006. Huraian anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Suhu di Tanah Tinggi Genting dan Kuala Lumpur Sepanjang Tahun 2006

TANAH TINGGI GENTING
Bulan
Suhu (oC)
Januari
17
Februari
18
Mac
19
April
19
Mei
20
Jun
19
Julai
19
Ogos
19
September
18
Oktober
18
November
17
Disember
17

KUALA LUMPUR
Bulan
Suhu (oC)
Januari
29
Februari
29
Mac
31
April
30
Mei
30
Jun
39
Julai
29
Ogos
30
September
31
Oktober
31
November
30
Disember
30
[20 Markah]
Bahagian C
[Masa dicadangkan : 45 minit]
[40 markah]

Tulis karangan tentang satu daripada perkara di bawah ini. Panjangnya karangan itu hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

(a) Masalah kesesakan lalu lintas terutama di bandar-bandar besar di negara kita semakin hari semakin meruncing.
Berikan pendapat anda tentang cara-cara untuk mengatasi masalah ini.

(b) Jam di dinding menunjukkan hampir pukul 9.30 pagi. Pada hari Sabtu begini, lazimnya kami sekeluarga pergi berjalan-jalan. Namun, ketika duduk bersarapan di meja makan, aku keseorangan. Hatiku tertanya-tanya manatah perginya ahli keluarga yang lain? Aku terus menyapu seri kaya pada sekeping roti lalu menyuapnya ke mulut. Air kopi panas disediakan oleh Mak Munah kuhirup perlahan-lahan. Mulakan perenggan seterusnya untuk menyambung cerita anda berdasarkan perenggan di atas.

(c) Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa “Biduk berlalu kiambang bertaut”.

(d) Anda merupakan salah seorang pegawai di Jabatan Alam Sekitar. Anda telah ditugaskan oleh pegawai atasan anda untuk menyediakan satu laporan tentang kes pencemaran sebatang sungai di kawasan anda. Sediakan laporan tersebut selengkapnya.

(e) Anda merupakan ketua pasukan bola sepak negeri. Baru-baru ini pasukan anda telah banyak mengalami kekalahan yang teruk dalam pertandingan yang dianjurkan.
Tulis sepucuk surat kepada pihak pengurus pasukan anda dan terangkan punca-punca kegagalan pasukan anda. Seterusnya berikan cadangan untuk meningkatkan prestasi pasukan anda.

Bahagian D
[Masa yang dicadangkan : 10 minit]
[10 markah]

Jawapan mestilah berdasarkan satu daripada novel-novel yang telah anda kaji seperti senarai di bawah ini.

(i) Meniti kaca (Raja Sabarudin Abdullah)
(ii) Aku Anak Timur (Siti Aminah Hj. Yusuf)
(iii) Limpahan Darah Di Sungai Semur (Zakaria Salleh)
(iv) Anak Din Biola (Maaruf Mahmud)
Huraikan salah satu perwatakan watak sampingan yang terdapat dalam novel yang anda telah kaji.
Skema Jawapan

Bahagian A
(i)

(ii) 1.
2.
3.

Bahagian B

Pendahuluan
- Malaysia merupakan sebuah negara beriklim khatulistiwa
- Panas dan lembap sepanjang tahun
- Namun demikian, terdapat perbezaan suhu yang ketara antara tempat-tempat tertentu
- Sebagai contoh suhu di tempat-tempat tinggi biasanya jauh lebih sejuk

Isi 1 (Pemerincian jadual)
- Tanah Tinggi Genting – merupakan kawasan tanah tinggi
- Oleh itu, suhunya jauh lebih sejuk daripada Kuala Lumpur
- Suhunya yang paling panas hanya 20 darjah Celsius berbanding dengan Kuala Lumpur yang boleh mencecah 31 darjah Celsius pada bulan-bulan tertentu
- Ada masanya suhu di Tanah Tinggi Genting boleh turun sehingga 17 darjah Celsius berbanding dengan Kuala Lumpur yang tidak pernah turun kurang daripada 29 darjah Celsius

Isi 2 (Sebab)
- Faktor utama – kedudukan yang lebih tinggi – udara semakin nipis
- Kawasan berhutan – belum diterokai
- Manakala Kuala Lumpur pula lebih merupakan belantara konkrit
- Asap dari kilang dan kenderaan turut meningkatkan suhu

Isi 3 (Kepentingan)
- Sesuai sebagai tempat peranginan
- Daya tarikan kepada pelancong luar dan dalam negara
- Sesuai dijadikan tempat mesyuarat pemimpin-pemimpin dari luar negara (terutama dari negara beriklim sejuk)

Penutup
- Tanah Tinggi Genting – salah satu tempat di Malaysia yang masih bebas daripada pembangunan secara giat
- Harus dipertahankan
- Penting sebagai kawasan rekreasi dan percutian
- Kerajaan harus memantau sebarang bentuk pembangunan di situ

Bahagian C
(a)
Pendahuluan
- Masalah kesesakan lalu lintas merupakan masalah yang paling sukar untuk diatasi, terutamanya di bandar-bandar besar

Isi-isi penting
- Mengamalkan berkongsi kereta ke tempat kerja
- Menggunakan kenderaan awam
- Mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya
- Membaiki keadaan jalan raya
- Menempatkan anggota polis trafik di tempat-tempat yang sering berlaku kesesakan untuk mengawal lalu lintas

Penutup
- Kerjasama daripada semua pihak perlu untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas ini.