Saturday, June 23, 2007

Geografi 1 6R : Geomorfologi : Gerakan Jisim

PERGERAKAN JISIM

Pergerakan jisim bermakna sebarang proses pergerakan bahan-bahan di cerun sesuatu bukit atau gunung. Bahan-bahan
yang terlibat dalam pergerakan ini merangkumi bahan terluluh bergerak dari atas cerun ke bahagian bawah sesuatu lereng bukit atau gunung disebabkan oleh tarikan graviti, aliran air hujan, danair cairan salji. Pergerakan jisim ini dapat dikategorikan dalam dua kumpulan utama iaitu pergerakan jisim perlahan / lambat dan pergerakan jisim cepat.
Pergerakan jisim yang perlahan melibatkan pergerakan tanah dan ketulan batuan seacara perlahan-lahan dari bahagian atas cerun ke bahagian bawah cerun. Proses pergerakan ini dikenali sebagai kesotan dan terdiri daripada lima jenis.

Pergerakan Jisim Perlahan / Lambat
Jenis-jenis
Kawasan / iklim
kesotan tanah-tanih
kesotan talus
kesotan batuan
kesotan batu glasier
gelangsar tanah
Senua kawasan
Pergunungan bersalji
Pergunungan
Lereng-lereng pergunungan bersalji
Sederhahana sejuk

1. Kesotan Tanah-Tanih
Iaitu jenis aliran lambat / perlahan yang boleh berlaku di mana-mana kawasan dunia tetapi banyak berlaku di kawasan beriklim Tropika Lembap dan Sederhana Sejuk.Pergerakan ini melibatkan ppergerakan regolit di atas cerun yang sangat landai iaitu sudut di antara 2 darjah hingga 4 darjah.
Pergerakan seumpama ini, memang tidak dapat dikesan oelh penglihatan dengan mata kasar kecuali dengan pemerhatian berdasarkan bentuk-bentuk tertentu di lereng-lereng bukit. Pokok=pokok , tiang-tiang elektrik datu telefon, pagar dan dinding batu yang condong menghadap cerun atas bagi bentuk-bentuk tadi menjadi bukti terhadap pergerakan lambat ini. Kandungan air dalanm tanah bertindak sebagai pelincir akibat hujan atau pencairan salji boleh menggalakkan aliran ini. Pada dasarnya, kesotan tanah adalah hasil pengaruh tarikan graviti. Pergerakan jenis ini digalakkan oleh resapan air hujan, perubahan suhu serta aktiviti haiwan. Kesotan tanah dipercayai membentuk cerun bentuk cembung.

2. Kesotan Talus
Iaitu pergerakan jisim jenis lambat yang giat berlaku pada cerun-cerun yang lebih curam seperti tebing tinggi, bukit dan gunung.Di Pergunungan Rocky, Amerika Syarikat, Pergerakan jisim ini sangat giat pada kecerunan 26 darjah hingga 35 darjah.
Pergerakan jisim jenis ini hanya melibatkan pergerakan bahan yang telah diluluhawa dan ia berada dalam keadaan kering dan berbentuk kasar dan kering Faktor tarikan graviti dan kecerunan yang curam penting dalam pergerakan kesotan talus. Manakala hujan yang lebat dan bekalan air cairan salji pula meruapakan penggalak kepada pergerakan jisim ini. Air bertindak sebagai agen pelincir terhadap pergerakan bahan-bahan dari atas cerun.

3. Kesotan Batu Glasier.
Pergerakan jisim kesotan batu glasier hanya giat berlaku terhadap kawasan yang bercerun landai. Ia melibatkan pergerakan bahan-bahan kasar tetapi bersama dengan sedikit tanah atau lumpur. Faktor terpenting terhadap pergerakan jisim ini ialah bekalan air akibat daripada pencairan salji. Ia bertindak sebagai agen pelincir di permukaan cerun-cerun yang landai.

4. Gelansaran Tanah.
Ia melibatkan pergerakan bahan-bahan tanah dan batu tongkol di cerun-cerun landai 2 darjah hingga 3 darjah di kawasan iklim sejuk. Bahan-bahan pergerakan ini terutama batu tongkol atau serpihan batu dan tanih adalah hasil proses-proses luluhawa. Ketiadaan litupan bumi di permukaan cerun-cerun beserta bekalan air dari pencairan salji menggalakkan pergerakan bahan. Permukaan bumi yang beku dan keras menjadi licin lalu menggalakkan pergerakan bahan di sepanjang cerun-cerun landai.
Gelangsaran tanih berlaku pada musim bunga dan musim panas apabila lapisan atas tanah telah mengalami pencairan dan tertepu dengan air daripada pencairan salji. Lapisan atas ini sentiasa mengalami beku cair dan telah menjadi longgar dan tidak kukuh. Lapisan bawah tanih pula adalah lapisan permafros ( lapisan sentiasa beku ). Lapisan bawah ini sentiasa dalam keadaan beku dan keras. Dengan ini lapisan atas yang longgar dan tidak kukuh menjadi tercerai daripada lapisan bawah.
Keadaan yang tertepu serta lembut mudah mengalir dan menggelungsur melalui cerun pada musim bunga dan musim panas. Pergerakan ini berlaku agak perlahan dan kadar bertambah pada tengah hari dan lewat petang musim bunga atau musim panas kerana keadaan suhu lebih tinggi dan pencairan mudah berlaku.

ALIRAN CEPAT
Aliran jenis ini melibatkan pergerkana tanah, ketulan batuan dan lumpur dari atas cerun ke bahagian bawah cerun dengan kadar yang cepat. Biasanya pergerakan ini berlaku di bahagian cerun yang lebih curam serta bekalan air yang banyak. Aliran kategori ini dibahagikan kepada beberapa jenis seperti berikut;

Jenis-jenis
Kawasan / Iklim
Aliran Tanah
Aliran Lumpur
Aliran puin salji-runtuh
Runtuhan
Tropika Lembap / Gurun panas
Gurun panas / Separa gurun
Sederhana sejuk / pergunungan
Semua kawasan

Aliran Tanah
Pergerakan jenis ini melibatkan pemindahan bahan seperti tanah liat dan lumpur yang sangat basah di cerun-cerun bukit. Pergerakan ini biasanya berlaku di cerun-cerun yang agak landai iaitu gradian 5 darjah hingga 30 darjah. Aliran ini dianggap lebih perlahan berbanding dengan pergerakan jenis aliran lumpur. Di Gurun panas, hujan yang berkala lebat akan menyebabkan pergerakan jenis ini. Pergerakan ini tidak berlaku di alur-alur atau lurah-lurah tetapi bergerak secara menyeluruh di permukaan cerun.
Di Tropika lembap panas, hujan yang lebat dalam jangka masa yang lama akan menyebabkan lapisan atas tanah bertambah berat kerana tepu dengan air. Tekanan tinggi terhadap lapisan bawah menyebabkan lapisan bawah geluncur dan mengalir menjadi aliran tanah.

Aliran Lumpur
Pergerakan ini sangat giat di kawasan-kawasan gurun panas dan separa gurun terutama di bahagaian cerun-cerun yang curam. Berbanding dengan aliran tanah , aliran lumpur lebih pantas pergerakannya. Hujan berkala dan lebat menyebabkan lapisan tanah yang longgar di permukaan yang tepu dengan air menghasilkan lumpur. Bahan lumpur ini akan bergerak dengan cepat melalui alur-alur atau lurah-lurah di lereng-lereng bukit atau gunung.
Akhirnya muatan ini akan dimendapkan sebagai kipas lanar di kaki-kaki bukit. Aliran jenis ini lebih aktif di permukaan cerun yang terdedah dan kurang litupan bumi. Aliran lumpur dipengaruhi oleh beberapa keadaan fizikal yang menggalakkan fenomena tersebut.
- Kewujudan permukaan bumi dengan bahan-bahan yang longgar serta butiran bentuk kecil yang mudah mengalir apabila terkena hujan atau air dan pencairan salji.
- Permukaan bumi yang bercerun curam sangat sesuai untuk pergerakan jisim jenis aliran lumpur.
- Bekalan air yang banyak akan berfungsi sebagai pelincir serta media pengangkutan terhadap butir kecil seperti tanah liat dan lumpur.

Geluncuran ( Gelongsoran )
Geluncuran merupakan satu lagi pergerakan jisim cepat yang berlaku dengan tiba-tiba. Pergerakan ini melibatkan pergerakan tanah-tanih dan bongkah batuan dalam skala besar di cerun-cerun yang umum. Terdapat tiga jenis geluncuran iaitu robohan, geluncuran puin dan geluncuran batuan.
i . Geluncuran jenis robohan melibatkan pergerakan pergerakan bongkah-bongkah batuan di cerun-cerun bukit atau gunung yang curam. Pergerakan ini berlaku apabila beban yang berat di lapisan atas menyebabkan lapisan batuan lembut di bawah runtuh dan ini membolehkan batuan lapisan atas turut bergerak menuruni cerun.
ii. Geluncuran puin pula merupakan pergerakan serpihan batuan secara golekan di sesuatu cerun yang curam. Biasanya pergerakan jenis ini melibatkan pergerakan serpihan batuan atau puin-puin yang kurang padat serta yang kering. Tarikan graviti memainkan peranan penting terhadap pergerakan ini.
iii. Geluncuran batuan ialah melibatkan pergerakan bongkah-bongkah batu yang besar di cerun yang agak curam. Pergerakan jenis ini berlaku terhadap batuan berlapis-lapis yang tersusun secara serong. Struktur batuannya mempunyai banyak retakan dan rekahan.

Runtuhan.
Pergerakan jenis ini pula melibatkan pergerakan puin-puin dan bongkahan batu secara tiba-tiba di cerun yang sangat curam, seperti di tebing tinggi. Terdapat dua jenis runtuhan iaitu runtuhan batu dan runtuhan puin.
i. Pergerakan jisim jenis runtuhan batu biasanya disebabkan struktur batuan yang telah menjadi lemah akibat proses-proses luluhawa dan pelbagai aktiviti manusia. Tarikan graviti penting terhadap pergerakan jenis ini. Runtuhan ini biasanya mengandungi pelbagai saiz dan bentuk batu. Apabila ia terjatuh akan terlonggok membentuk kun talus di kaki-kaki tebing tinggi atau kaki gunung.
ii. Pergerakan runtuhan puin pula melibatkan pergerakan serpihan batuan di cerun-cerun curam seperti di tebing tinggi. Pergerakan ini mungkin merupakan kesinambungan dari proses geluncuran puin di cerun-cerun yang lebih landai.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENGGALAKKAN PERGERAKAN JISIM DI KAWASAN TROPIKA LEMBAP.

Lapisan regolit yang tebal
Proses-proses luluhawa terutama luluhawa kimia yang sangat giat di kawasan Tropika Lembap menghasilkan lapisan regolit yang tebal. Ini kerana berlaku luluhawa dalaman. Lapisan regolit yang tebal memudahkan proses - proses pergerakan cerun kerana ia merupakan lapisan yang lembut, lebih mudah menyerap air dan mudah bergerak.

Iklim
Kawasan Tropika lembap menerima jumlah hujan yang banyak iaitu lebih daripada 2000 mm setahun. Hujan yang lebat sepanjang tahun dapat menggalakkan proses-proses pergerakan jisim. Air hujan apabila bercampur dengan lapisan tanah akan menjadi berat dan mudah bergerak disepanjang cerun akibat tarikan graviti. Air hujan yang menyusup masuk ke dalam laipsan tanah bertindak sebagai agen pelincir lalu menggalakkan proses gelunsuran tanah di permukaan cerun-cerun bukit. Di kawasan sederhana sejuk, pencairan salji akan menjadikan lapisan tanah tertepu dengan air dan menggalakkan lapisan atas tanah bergerak menuruni cerun. Kadar pergerakan lebih cepat pada musim bunga dan panas di mana pencairan salji yang giat berlaku.

3. Aktiviti manusia
Kegiatan manusia seperti tarahan bukit untuk pembinaan jalan raya, pemanasan cerucuk besi dan pemecahan batu di lombong kuari dapat menggalakkan proses-proses pergerakan jisim seperti robohan dan runtuhan batu. Gangguan seumpama ini yang melonggarkan struktur tanah dan batuan di lereng-lereng bukit atau gunung mudah mengalami pergerakan jisim.

Gangguan-gangguan tektonik
Kawasan-kawasan yang sering mengalami gerakan tektonik seperti gempa bumi, gelinciran, lipatan dan gunung berapi menyebabkan struktur batuan dan tanah di kawasan bercerun curam mudah mengalami pergerakan jisim.

4.Litupan bumi
Di kawasan tanah tinggi yang mengalami pemusnahan, liputan bumi melalui pertanian pindah dan pembalakan secara intensif proses-proses pergerakan bumi giat berlaku. Lapisan tanah yang kehilangan cengkaman akar pokok dan timbuhan mudah mengalami pergerakan jisim.

Bentuk muka bumi
Kawasan-kawasan di tanah tinggi yang bercerun curam mudah mengalami pergerakan jisim. Faktor kecerunan mendorong tindakan tarikan graviti terhadap regolit di bahagian atas tanah tinggi dan dengan ini kadar pergerakan juga lebih tinggi.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PROSES-PROSES PERGERAKAN JISIM

Menanam tumbuhan
Permukaan bumi terutama di lereng-lereng bukit dan gunung yang sedang atau telah berlaku kegiatan manusia seharusnya diliputi dengan penanaman pokok atau rumput. Litupan bumi ini dapat mencengkam tanah melalui akar-akarnya. Lagipun tanah kurang terdedah kepada tindakan air hujan.

Teres
Kawasan-kawasan pertanian di permukaan bumi yang bercerun curam seharusnya diteres mengikut kaedah garis kontor. Tindakan ini bukan sahaja mengurangkan kecerunan lereng-lereng bukit bahkan mengurangkan daya graviti terhadap lapisan tanah di sesuatu bukit atau tanah tinggi. Teres juga mengurangkan air larian permukaan yang juga boleh mempengaruhi pergerakan jisim.

Penyimenan
Satu lagi kaedah yang penting dan sering digunakan untuk mengurangkan proses-proses pergerakan jisim ialah dengan penyimenan ke atas permukaan lereng-lereng cerun yang curam. Kaedah ini sangat berkesan di kawasan permukaan yang berbatu. Proses penyimenan ini dapat mengurangkan kemasukan air ke dalam secara proses infiltrasi. Kadar penyusupan air yang terhalang ini dapat mengurangkan lapisan atas lereng-lereng bukit menjadi berat dan bergerak ke bahagian bawah.

Tembok
Pergerakan jisim juga boleh diatasi dengan cara membina suatu tembok konkrik atau batu merentasi cerun sesuatu bukit yang dijangkakan boleh berlaku pergerakan jisim. Kaedah ini sangat sesuai mengatasi pergerakan jisim jenis kesotan tanah dan tanah runtuh di lereng-lereng bukit yang tidak begitu curam.

Sistem perparitan
Kaedah ini sering kali digunakan di lereng-lereng bukit yang tinggi terutama di beberapa tempat di lebuh raya Utara Selatan. Sistem perparitan ini dibina di setiap teres di sesuatu lereng bukit yang curam mengikut garis kontornya. Parit-parit atau beberapa saliran dibina ke bawah bukit melalui tangga-tangga batu. Air hujan yang turun di permukaan rata di setiap teres akan mengalir masuk ke dalam sistem perparitan dan kemudian mengalir melalui tangga ke bahagian bawah sesuatu cerun. Kaedah ini dapat mengatasi masalah air yang bertakung dan menyusup masuk ke dalam permukaan bumi lalu memberatkan lapisan tanah. Permukaan tanah yang berat boleh bergerak ke bawah.

Lapisan plastik
Fenomena pergerakan jisim di lereng-lereng bukit yang curam boleh dikurangkan dengan meletakkan satu lapisan plastik di permukaan atas cerun. Lapisan plastik dapat menghalang penyusupan air ke dalam lapisan bawah. Fenomena pemasangan plastik sering kali dapat kita perhatikan di beberapa tempat di Lebuh Raya Utara Selatan.

PERGERAKAN JISIM
Terdiri daripada 2 kumpulan utama

1. Pergerakan perlahan
Jenis-jenis
Kawasan / iklim
kesotan tanah-tanih
kesotan talus
kesotan batuan
kesotan batu glasier
gelangsar tanah
Semua kawasan
Pergunungan bersalji
Pergunungan
Lereng-lereng pergunungan bersalji
Sederhahana sejuk

2. Pergerakan cepat
Jenis-jenis
Kawasan / Iklim
Aliran Tanah
Aliran Lumpur
Aliran puin salji-runtuh
Runtuhan
Tropika Lembap / Gurun panas
Gurun panas / Separa gurun
Sederhana sejuk / pergunungan
Semua kawasan


FAKTOR-FAKTOR YANG MENGGALAKKAN PROSES PERGERAKAN JISIM DI KAWASAN TROPIKA LEMBAP

Lapisan regolit yg tebal - kesan drp kadar luluhawa dalaman yang berkesan
Iklim - terdedah kepada hujan yang lebat
Aktiviti manusia - aktiviti pembangunan di kawasan tanah tinggi / cerun bukit
Gangguan tektonik - bila berlaku gempa bumi, gelinciran, lipatan dan letusan gunung berapi
Litupan bumi - kemusnahan kawasan hutan melalui pembalakan dan pertanian pindah
Bentuk Muka bumi – tanah tinggi , bercerun curam


LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PROSES PERGERAKAN CERUN

Menanam tumbuhan tutup bumi
Membina teres / kaedah kontor
Penyimenan
pembinaan tembok / dinding
Mengadakan sistem perparitan
Meletakkan lapisan plastik di musim hujan

LATIHAN PENGUKUHAN
Padamkan pernyataan –pernyataan berikut dengan proses – proses yang berkaitan.
Pergerakan jisim yang melibatkan pergerakan tanah dan ketulan batuan seacara perlahan-lahan dari bahagian atas cerun ke bahagian bawah cerun.
Aliran jenis ini melibatkan pergerakan tanah, ketulan batuan dan lumpur dari atas cerun ke bahagian bawah cerun dengan kadar yang cepat
Pergerakan jenis ini melibatkan pemindahan bahan seperti tanah liat dan lumpur yang sangat basah di cerun-cerun bukit. Pergerakan ini biasanya berlaku di cerun-cerun yang agak landai iaitu gradian 5 darjah hingga 30 darjah. Aliran ini dianggap lebih perlahan berbanding dengan pergerakan jenis aliran lumpur.
Pergerakan ini sangat giat di kawasan-kawasan gurun panas dan separa gurun terutama di bahagaian cerun-cerun yang curam. Berbanding dengan aliran tanah , aliran lumpur lebih pantas pergeraannya. Hujan berkala dan lebat menyebabkan lapisan tanah yang longgar di permukaan yang tepu dengan air menghasilkan lumpur. Bahan lumpur ini akan bergerak dengan cepat melalui alur-alur atau lurah-lurah di lereng-lereng bukit atau gunung.
Pergerakan jisim cepat yang berlaku dengan tiba-tiba. Pergerakan ini melibatkan pergerakan tanah-tanih dan bongkah batuan dalam skala besar di cerun-cerun yang umum seperti robohan, geluncuran puin dan geluncuran batuan.
Pergerakan jenis ini pula melibatkan pergerakan puin-puin dan bongkahan batu secara tiba-tiba di cerun yang sangat curam, seperti di tebing tinggi seperti runtuhan batu dan runtuhan puin.
Pergerakan ini melibatkan pergerakan regolit di atas cerun yang sangat landai iaitu sudut di antara 2 darjah hingga 4 darjah. Pergerakan seumpama ini, memang tidak dapat dikesan oleh penglihatan dengan mata kasar kecuali dengan pemerhatian berdasarkan bentuk-bentuk tertentu di lereng-lereng bukit. Pokok=pokok , tiang-tiang elektrik datu telefon, pagar dan dinding batu yang condong menghadap cerun atas bagi bentuk-bentuk tadi menjadi bukti terhadap pergerakan lambat ini. Kandungan air dalanm tanah bertindak sebagai pelincir akibat hujan atau pencairan salji boleh menggalakkan aliran ini. Pada dasarnya, kesotan tanah adalah hasil pengaruh tarikan graviti. Pergerakan jenis ini digalakkan oleh resapan air hujan, perubahan suhu serta aktiviti haiwan. Kesotan tanah dipercayai membentuk cerun bentuk cembung.
Pergerakan jisim jenis lambat yang giat berlaku pada cerun-cerun yang lebih curam seperti tebing tinggi, bukit dan gunung.Di Pergunungan Rocky, Amerika Syarikat, Pergerakan jisim ini sangat giat pada kecerunan 26 darjah hingga 35 darjah. Pergerakan jisim jenis ini hanya melibatkan pergerakan bahan yang telah diluluhawa dan ia berada dalam keadaan kering dan berbentuk kasar dan kering Faktor tarikan graviti dan kecerunan yang curam penting dalam pergerakan kesotan talus. Manakala hujan yang lebat dan bekalan air cairan salji pula meruapakan penggalak kepada pergerakan jisim ini. Air bertindak sebagai agen pelincir terhadap pergerakan bahan-bahan dari atas cerun.
Pergerakan hanya giat berlaku terhadap kawasan yang bercerun landai. Ia melibatkan pergerakan bahan-bahan kasar tetapi bersama dengan sedikit tanah atau lumpur. Faktor terpenting terhadap pergerakan jisim ini ialah bekalan air akibat daripada pencairan salji. Ia bertindak sebagai agen pelincir di permukaan cerun-cerun yang landai.
Pergerakan terhadap bahan-bahan tanah dan batu tongkol di cerun-cerun landai 2 darjah hingga 3 darjah di kawasan iklim sejuk. Bahan-bahan pergerakan ini terutama batu tongkol atau serpihan batu dan tanih adalah hasil proses-proses luluhawa. Ketiadaan litupan bumi di permukaan cerun-cerun beserta bekalan air dari pencairan salji menggalakkan pergerakan bahan. Permukaan bumi yang beku dan keras menjadi licin lalu menggalakkan pergerakan bahan di sepanjang cerun-cerun landai.

Proses-Proses No. Huraian Proses-Proses No. Huraian

A. Pergerakan cepat ( ) F. Gelansaran Tanah ( )
B. Pergerakan lambat ( ) G. Aliran Lumpur ( )
C. Kesotan tanah-tanih ( ) H. Aliran puin ( )
D. Kesotan Talus ( ) I . Aliran Tanih ( )
E. Kesotan Batu Glasier ( ) J. Runtuhan ( )